Sepetang Bersama Blogger dan Yeo's 2014

05 Februari 2014

TEDUNG SELAR RAGUT NYAWA

Butterworth: “Sebelum ini, saya pernah melarang kerana hobinya itu sesuatu yang bahaya tetapi dia teruskan juga kerana minat dengan pertunjukan ular,” kata Aziz Bakar, 50, bapa tiri kepada Mohd Sufian Mohd Zain, 22, yang disahkan meninggal dunia akibat dipatuk ular tedung selar kira-kira jam 8.55 pagi semalam.

Terdahulu dalam kejadian di Sungai Petani Kedah, Sabtu lalu, mangsa yang cuba menangkap reptilia berbisa sepanjang empat meter itu tidak sedarkan diri selepas dipatuk ular berkenaan dan dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sunga Petani, Kedah. 

Bagaimanapun, selepas empat hari bertarung nyawa dan mendapat rawatan di wad di HSAH, Mohd Sufian disahkan meninggal dunia akibat terkena patukan reptilia berkenaan. 

Aziz, dari Taman KGN, Teluk Air Tawar di sini, berkata, secara peribadi dia memang tidak gemar dengan hobi anak bongsunya itu kerana boleh mengundang risiko pada bila-bila masa, bagaimanapun membiarkan arwah meneruskan aktiviti itu kerana ia adalah minatnya.

MOHD Sufian maut dipatuk ular tedung selar Sabtu lalu.


“Kadang-kadang dia tunjukkan gambarnya beraksi bersama ular yang ditangkapnya itu dan gambar itu disimpan di dalam komputer riba tetapi saya enggan melayan gelagatnya itu sebagai membantah hobi dianggap berisiko.


“Hinggakan ada kalanya kami bergaduh tetapi saya tidak mahu terlalu bertegas kerana arwah sudah minat dengan pertunjukan ular, mungkin sudah takdir dia meninggal akibat dipatuk ular dan saya reda dengan pemergiannya,” katanya. 

Berikutan minat mendalam mengenai reptilia itu, arwah sebelum ini kerap turut serta dalam pertunjukan ular bersama rakannya sejak menunjukkan minat dalam dunia menjinakkan dan menangkap reptilia berbisa itu setahun lalu. 


APEK BELUM PILIH NAMA ANAK

Kota Bharu: “Kehadiran cahaya mata sulung dalam hidup bukan satu halangan untuk saya terus meningkatkan prestasi ke arah lebih baik sebagai penjaga gol skuad kebangsaan dan Kelantan.

“Malah, ia mendidik saya untuk lebih berdisiplin dalam menguruskan masa, antara kerjaya dan tanggungjawab kepada keluarga,” kata Khairul Fahmi Che Mat yang kini bergelar bapa selepas isterinya, Leuniey Natasha Nazri, 22, selamat melahirkan bayi perempuan, kelmarin. 

Bayi perempuan seberat 2.75 kilogram (kg) itu selamat dilahirkan secara normal di Hospital Pakar Perdana, dekat sini, jam 3 petang kelmarin. 

Bagaimanapun, Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek dan Leuniey yang kelihatan gembira ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam belum menetapkan nama untuk anak sulungnya itu.


APEK mendukung bayi sulungnya sambil ditemani Leuniey.

Apek berkata, kehadiran insan kecil itu sudah pasti memberi lebih keceriaan dalam rumah tangganya yang dibina sejak Disember 2012.


Katanya, dia kini perlu lebih berdisiplin dalam membahagi masa antara kerjaya selaku pemain bola sepak profesional dan tanggungjawab lebih besar sebagai suami dan bapa. 

“Memang saya mengakui tanggungjawab saya kini semakin besar selepas bergelar bapa. Namun, ia bukan masalah besar untuk saya menguruskan kerjaya dan keluarga dengan baik. 

“Kami masih belum menetapkan nama untuk anak sulung saya ini dan ia masih dalam perbincangan untuk memilih nama yang sesuai,” katanya. 


TEMBAKAN DI KEPALA

ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi Thivakar

Kuala Lumpur: Suasana di Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan di sini, gempar apabila seorang anggota polis berpangkat lans koperal dari Cawangan Khas (SB) Bukit Aman ditemui mati akibat ditembak di kepala di tepi jalan itu, semalam.

Difahamkan, kejadian disedari orang awam yang ternampak mayat mangsa, T Thivakar, 37, berpakaian lengkap, terbaring berdekatan sebuah motosikal jam 4.30 petang. 

Bertindak atas hasil maklumat, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa mempunyai kesan kecederaan dua das tembakan di kepala. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairy Ahrasa berkata, siasatan awal mendapati tiada pergelutan dalam kejadian itu yang dipercayai baru berlaku sebelum penemuan mayatnya.

“Mayat mangsa yang bertugas di Cawangan Khas itu ditemui terbaring 1.5 meter dari motosikal yang diparkir dengan baik di tepi jalan terbabit.


“Kami turut menemui dua kelongsong peluru 9 milimeter dan tidak menolak kemungkinan suspek sememangnya berniat membunuh mangsa berikutan tiada kesan pergelutan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. 

Hadir sama Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah. 

Menurut Khairy, pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengenal pasti motif kejadian.

“Setakat ini kami belum dapat memastikan sama ada mangsa membawa senjata api atau sebaliknya kerana ia tidak ditemui di lokasi kejadian. 

“Pemeriksaan juga mendapati motosikal itu didaftarkan atas nama orang lain,” katanya. 

Menurutnya, polis juga memastikan sama ada mangsa bertugas atau tidak ketika kejadian dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. 

Harian Metro difahamkan, mangsa yang bertugas di Bukit Aman itu masih bujang dan berasal dari Ipoh, Perak.

SUMBER

MAYAT HIDUP SEMULA


Kuala Lumpur: “Ketika saya tersedar, di kiri dan kanan saya ada seorang doktor dan beberapa jururawat untuk melakukan bedah siasat terhadap ‘jenazah’ saya yang disahkan sudah meninggal dunia,” kata pengamal rawatan tradisional, Abdullah Nanyan, 62.

Menurutnya, sebelum itu dia disahkan meninggal dunia selama dua jam selepas dimasukkan ke Unit Penjagaan Koronari (CCU) di sebuah hospital di ibu negara selama lebih sebulan kerana menghadapi pelbagai komplikasi termasuk serangan jantung atau Acute Myocardial Infarction (AMI), kesukaran bernafas, kencing manis dan kegagalan fungsi paru-paru.


Katanya, mereka semua terperanjat melihat keadaan dirinya yang ‘hidup’ semula dan segera menghantarnya ke bilik rawatan untuk pemeriksaan.

Menceritakan semula kejadian dialami pada 16 Februari 2012 itu, katanya, dia disahkan meninggal dunia pada jam 10 pagi.

Bagaimanapun, selepas ‘jenazah’nya dihantar ke bilik bedah untuk proses bedah siasat, dua jam kemudian dia tersedar dan boleh menggerakkan kepala.

SUMBER

20 LOKASI DI KUALA KANGSAR DIPASANG CCTV

KUALA KANGSAR 4 Feb. - Sebanyak 20 lokasi dikenalpasti untuk dipasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi membanteras kegiatan jenayah di sekitar bandar diraja ini.

Ketua Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Muhamad berkata, peruntukan memasang CCTV tersebut adalah dari kerajaan dan kerja pemasangan akan dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).

Menurut beliau, antara kawasan yang akan dipasang dengan kemudahan itu termasuklah pusat beli-belah, bank dan tempat meletak motosikal kerana berpotensi berlaku kegiatan jenayah ragut atau kecurian motosikal.

"Kawasan dipilih merupakan kawasan tumpuan dan berpotensi untuk jenayah berlaku.

"Pemasangan CCTV ini merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk mencegah jenayah di daerah ini," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar di sini hari ini.

Majlis turut disaksikan Ketua Jabatan Pengurusan Polis Perak, Datuk Zulkifli Mohamad.

Abdul Ghafar yang akan bersara menyerahkan tugas berkenaan kepada Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Guan Beng Kang sebagai Pemangku Ketua Polis Daerah yang baharu.

Menjelaskan lebih lanjut katanya, statistik jenayah di daerah ini tahun lalu meningkat dua kes iaitu 298 kes berbanding 296 kes pada tahun sebelumnya manakala jenayah jalanan, menurun kepada 26 kes daripada 37 kes pada 2012.

"Walaupun terdapat penurunan indeks jenayah jalanan, tetapi kita perlu teruskan usaha-usaha membanteras jenayah lebih-lebih lagi dengan pindaan Undang-undang Pencegahan Jenayah yang baharu iaitu Akta Pencegahan Jenayah 1958 dan Akta Pertubuhan 1960 yang akan memberi impak aktiviti membanteras jenayah.

"Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh warga daerah ini supaya terus mempertingkatkan lagi usaha-usaha pencegahan terutama ke arah mengurangkan jenayah jalanan," katanya.

SUMBER

PILIHAN RAYA KECIL DUN KAJANG PADA 23 MAC INI


PUTRAJAYA - Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang akan diadakan pada 23 Mac ini dan penamaan calon ditetapkan pada 11 Mac, demikian diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya hari ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof membuat pengumuman itu selepas mesyuarat khas bagi membincangkan kekosongan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor itu berikutan peletakan jawatan secara mengejut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh dari PKR pada 27 Januari ini.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lepas, Chin Cheh memenangi kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN), Berjasa dan tiga calon bebas.

- Bernama

SUMBER

20 STAF ANAK SYARIKAT PKNS DIBERHENTIKAN

20 staf anak syarikat PKNS diberhentikan
Seorang daripada 20 kakitangan PKNS Holdings yang ditamatkan kontrak menunjukkan Notis Pemberhentian yang diterima di Seksyen 13, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria





Tindakan disyaki ada kaitan usaha singkir kroni bekas Pengurus Besar 

Shah Alam: Seramai 20 kakitangan kontrak PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) ditamatkan perkhidmatan serta-merta semalam. 

Isu terbaru itu berlaku tidak sampai sebulan selepas pengguguran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohammed Azmin Ali, sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). 

Kesemua kakitangan terbabit menerima surat penamatan kontrak perkhidmatan itu selepas menghadiri perjumpaan dengan pihak pengurusan PHSB, kira-kira jam 10 pagi walaupun sebahagian daripada mereka mempunyai kontrak hampir setahun lagi. 

Difahamkan, idea penubuhan PHSB dibuat oleh Datuk Othman Omar dan pemecatan mereka ada kaitan untuk ‘menyingkirkan’ kroni bekas Pengurus Besar PKNS itu. 

Bekas Pengurus Kanan Pemasaran PHSB, Dr Aliff Aiman Abdullah, 55, berkata surat penamatan kontrak itu ditandatangani oleh Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria. 

Hilang pendapatan 
“Surat yang kami terima menyebut penamatan ini ialah bagi penstrukturan semula organisasi dan sumber manusia, termasuk anggota yang dipinjam daripada PKNS Holdings. 

“Sehubungan itu, PKNS membuat keputusan untuk tamatkan kontrak perkhidmatan serta-merta. PKNS juga akan membayar dua bulan gaji menggantikan notis, baki cuti tahunan secara prorata, setelah mengambil kira apa juga tuntutan bayaran yang masih belum dijelaskan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Aliff berkata, dia dimaklumkan oleh Pengerusi PHSB bahawa arahan itu dibuat oleh Pemangku Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

“Datin Paduka (Norazlina) memaklumkan arahan ini daripada pemangku pengurus besar dan Menteri Besar. Jadi, dia perlu akur dengan arahan ini. 

“Akibat tindakan ini, kami hilang punca pendapatan. Cuba bayangkan bagaimana kami nak tanggung kehidupan keluarga kami, persekolahan anak-anak dan komitmen yang perlu dibayar setiap bulan selepas ini,” katanya. 

Bagi Wan Firdaus Md Isa, 27, dia kesal dengan tindakan pengurusan PHSB itu, kerana kontraknya masih berbaki kira-kira setahun. 

Khalid nafi campur tangan 

“Sepatutnya pengurusan PHSB bagi notis sekurang-kurangnya sebulan sebelum atau selewat-lewatnya seminggu, jadi baru kami boleh buat persediaan,” katanya. 

Sementara itu, usaha BH untuk mendapatkan komen Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, gagal.


NAIK PREMIUM INSURANS KENDERAAN BERPERINGKAT



Kuala Lumpur: Syarikat insurans di Malaysia dibenar menaikkan kadar premium kenderaan bermotor secara berperingkat hingga 2016 sejajar dengan Rangka Kerja Perlindungan Motor Baharu diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM), berkuatkuasa 2012. 
Jurucakap BNM berkata, pengumuman berhubung kenaikan berperingkat itu dikeluarkan pada 11 Mac 2011 untuk berkuatkuasa pada 1 Januari 2012 dan masih boleh diakses dalam laman web bank pusat itu. 

“Siaran akhbar yang dikeluarkan BNM berhubung perkara itu masih berkuat kuasa,” katanya. 

Beliau mengulas mengenai penyebaran dalam laman sosial hingga mencetus kebimbangan orang ramai bahawa premium insurans kenderaan bermotor akan dinaikkan lagi sebanyak 15 peratus mulai 15 Februari ini. Ia adalah kenaikan kali ketiga premium insurans bermotor sejak awal 2012. 

Kenyataan mengenai rangka kerja baru itu menyebut, ia dirumus bertujuan menyediakan penyelesaian menyeluruh bagi menangani isu kadar premium tinggi dan kesukaran orang ramai mendapatkan perlindungan motor. 

Strategi dua hala itu digunakan untuk meningkatkan kecekapan dalam penyediaan perlindungan motor dengan pelarasan terhadap kadar premium secara beransur-ansur bagi memastikan orang ramai dapat membeli insurans pada harga berpatutan. 

“Sebelum rangka kerja itu diperkenalkan, tarif motor tidak pernah dikaji semula sejak 30 tahun lalu walaupun bilangan pemilik kenderaan, kadar kemalangan dan tuntutan insurans meningkat dengan nyata,” kata kenyataan itu.

SUMBER

15 KAMBING RENTUNG DI KANDANG

Foto

ZAINI menunjukkan kambing yang rentung selepas kandang terbakar.

Alor Setar: “Saya sebak melihat 15 daripada 30 kambing peliharaan rentung akibat terperangkap dalam kandang kerana semuanya jinak dengan saya.

“Paling menyedihkan apabila jiran memberitahu terdengar bunyi bising seperti kambing menggelupur dalam kebakaran itu,” kata Zaini Zain, 51, selepas kandang kambingnya di Lorong Suri, Jalan Pegawai, di sini, terbakar kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, dia yang sedang bekerja syif malam sebagai pengawal keselamatan di Indah Water Konsortium (IWK), di sini, terkejut apabila menerima panggilan daripada jirannya yang memaklumkan kandang kambingnya terbakar.

“Kebanyakan kambing itu sudah cukup umur dan sedia untuk dijual, malah saya bersyukur penduduk kampung sempat menyelamatkan sebahagian kambing di kandang ini dan hanya 15 ekor saja terselamat.
“Semua kambing ini jinak dengan saya dan dijual dengan harga RM550 seekor untuk mereka yang mahu mengadakan majlis akikah atau kenduri.

RINTIHAN IBU

Foto
DUA remaja mengaku bersalah tunggang motosikal secara berbahaya.

Shah Alam: “Saya memohon agar mahkamah meringankan wang jaminan kerana saya tidak mempunyai wang.

“Malah, saya terpaksa meminjam duit bantuan persekolahan BR1M anak-anak lain yang diberikan kerajaan untuk datang ke sini,” kata seorang ibu berusia 40-an dalam rayuannya di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Terdahulu, remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga anak kepada wanita itu mengaku bersalah atas kesalahan menunggang motosikal secara berbahaya di Jalan Dataran Kemerdekaan, di sini, pada 1 Februari lalu.

Bagaimanapun, Majistret Farah Azura Mohd Saad menetapkan 11 Mac depan sebagai tarikh hukuman.
Sebelum prosiding berjalan, remaja yang memakai baju merah jambu dan sudah tidak bersekolah itu menangis teresak-esak di dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan pilihan, anak keempat daripada tujuh beradik itu didakwa menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya kepada orang awam di Jalan Dataran Kemerdekaan di sini, pada kira-kira jam 12.45 tengah malam, 1 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Selain remaja itu, seorang lagi tertuduh Muhammad Adzie Zulhaq Rahim, 18, juga mengaku bersalah atas pertuduhan sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nooranisa Ngadirin menawarkan masing-masing diikat jamin dengan RM4,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan agar tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran seminggu sekali.

Bagaimanapun, kedua-dua penjaga tertuduh itu memohon supaya mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana tidak berkemampuan.

Berikutan itu, mahkamah membenarkan kedua-dua remaja itu masing-masing diikat jamin dengan RM3,500 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran.

PECAH PINTU BELAKANG

ANGGOTA forensik memeriksa kedai emas yang dirompak.

Petaling Jaya: Sekumpulan perompak mengambil kesempatan sempena cuti Tahun Baru Cina untuk menceroboh masuk sebuah kedai emas di pusat beli-belah di Bandar Utama, di sini, dan melarikan barang kemas yang masih belum diketahui nilainya.


Kejadian itu hanya disedari pengurus premis kira-kira jam 10 pagi semalam ketika mahu membuka kedai dan terkejut melihat peti keselamatan dirosakkan sebelum mendapati barang kemas lesap.

 Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 10.40 pagi semalam. 

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek memasuki premis melalui pintu belakang kedai yang dipecahkan sebelum merosakkan peti keselamatan menggunakan gas oxy. 

“Premis terbabit ditutup jam 3 petang Khamis lalu sempena Tahun Baru Cina dan beroperasi semula hari ini (semalam).

“Pihak polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian bagi membantu siasatan berhubung kejadian ini,” katanya.

Arjunaidi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan setakat ini jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan.


SUMBER

'MAKAN DAN CURI' KEBAS RM1,000

Kapar: Makan dan curi antara petua dipercayai digunakan pencuri yang memecah masuk rumah penduduk dalam dua kejadian berasingan di Kampung Sungai Serdang, di sini, awal pagi Sabtu lalu.
Dalam kejadian pertama jam 3 pagi, mangsa, Abdul Rahman Mohd Yahya, 28, berkata, dia dan keluarganya selesai mengadakan kenduri tahlil arwah bapanya pada malam kejadian dan kebanyakan ahli keluarganya tidur nyenyak kerana keletihan. 
Kesempatan itu digunakan lelaki untuk memecah masuk rumahnya melalui tingkap belakang rumah. 

“Ada ahli keluarga terdengar bunyi di belakang rumah. Setelah diamati, ada kelibat seorang lelaki sedang memasukkan lauk ke dalam bekas manakala nasi dan ikan rebus sudah dimasukkan ke dalam pinggan.

“Saya dan beberapa ahli keluarga cuba menangkap pencuri itu, namun mereka sempat melarikan diri melalui tingkap yang diumpil sebelum menghilangkan diri dalam semak bersama bekas berisi makanan, antaranya sup ayam dan kek,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, selepas kira-kira 30 minit, pencuri berkenaan sekali lagi datang dan mengumpil pintu kayu di tepi rumah, namun gagal kerana dia dan ahli keluarga menyedarinya. 

Dalam kejadian kedua kira-kira 4 pagi, lelaki dipercayai suspek sama memecah masuk rumah seorang lagi penduduk yang terletak kira-kira 200 meter daripada rumah pertama. 

Suspek memasuki rumah mangsa melalui tingkap dan mencari barangan berharga. Dia berjaya melarikan beg sandang berisi telefon bimbit serta wang tunai yang semuanya dianggarkan berjumlah RM1,000. 

Mangsa, Mohd Anas Jumat, 28, berkata, kek yang disimpan dalam peti sejuk terut hilang dilarikan pencuri berdasarkan penemuan bekas makanan tidak jauh dari rumahnya. 

Mereka membuat laporan polis di Balai Polis Kapar.

MENGAMUK NAK POTONG KEMALUAN ANAK SAUDARA

Kuala Terengganu: Berang kerana anak saudaranya terkencing di atas tilamnya, seorang lelaki bagaikan dirasuk hantu apabila mengamuk mahu memotong kemaluan kanak-kanak perempuan itu dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Masjid Raja, di sini, Ahad lalu.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku jam 4.30 pagi selepas suspek lingkungan 20-an itu ditegur ibunya berhubung beberapa perkara salah yang dilakukan suspek sebelum ini.
Katanya, teguran wanita berusia 63 tahun itu bukan saja tidak dapat diterima suspek sebaliknya dia bertindak melepaskan geram kepada kanak-kanak berusia tiga tahun yang secara tidak sengaja terkencing di atas tilamnya.
“Pada mulanya, suspek bertindak kurang ajar apabila meludah berkali-kali ke arah ibu malang itu sebelum mengugut akan membunuh warga emas itu menggunakan kapak yang diambil di dapur rumah.
“Bagi menakutkan mangsa, suspek bertindak mengetuk kapak di tangannya beberapa kali di atas meja sebagai isyarat berhubung tindakan yang akan dilakukan selepas itu,” katanya.
Sumber berkata, ketika suspek sedang mengamuk, anak saudaranya yang terjaga daripada tidur secara tidak sengaja terkencing di atas tilam kerana ketakutan.
Katanya, kejadian itu menyebabkan suspek semakin naik angin apabila mengugut akan memotong kemaluan kanak-kanak itu.
“Bukan itu saja, suspek yang bagaikan dirasuk turut mengamuk akan membakar pakaian milik mangsa selain mengugut akan membakar rumah itu.
“Melihat keadaan suspek yang semakin agresif, ibu malang yang bimbang keselamatannya dan ahli keluarga lain nekad membuat laporan polis sejurus kejadian itu untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

PENGANGGUR TIDAK MENGAKU DERA BUDAK PEREMPUAN


DUNGUN - Seorang penganggur Soffian Hadie Mohd Nor, 35 tahun, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan mendera dan mengabaikan kanak-kanak berusia dua tahun di bawah jagaannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Nur Syafiqah Adawiyah Abdullah di sebuah rumah kosong, Lot 8428, Taman Perumahan Seberang Paka Fasa 2, Paka kira-kira jam 3.20 petang, 22 Januari lepas.

Bagi pertuduhan itu, Soffian yang mempunyai hak jagaan terhadap kanak-kanak berkenaan, yang telah meninggal dunia, boleh dihukum di bawah Akta Kanak-kanak 2001 dengan hukuman denda sehingga RM20,000 atau hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh yang turut mempunyai rekod penyalahgunaan dadah dan tidak diwakili peguam, tidak ditetapkan sebarang jaminan oleh Majistret Hazwanie Husain Bustari.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Izzat Wan Abdullah memberitahu mahkamah bahawa mereka masih menunggu laporan forensik dan kimia terhadap Soffian, bagi menyabitkannya kepada kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, atas tuduhan membunuh Nur Syafiqah.

Soffian juga menghadapi satu lagi tuduhan gagal menunjukkan kad pengenalannya apabila diminta oleh pihak polis ketika ditahan di Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Paka pada jam 1.30 tengah hari, 21 Januari lalu.

Pertuduhan dilakukan di bawah peraturan 25(1)(n) Pendaftaran Negara 1990.

Sementara itu, ibu kandung Nur Syafiqah, Rabiatul Adawiyyah Mamat, 28, turut dihadapkan di mahkamah yang sama kerana didakwa membuat laporan palsu berhubung kehilangan kanak-kanak itu di Balai Polis Paka pada jam 12.01 tengah hari 18 Januari lalu.

Dia mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Hazwanie menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin tetapi tertuduh gagal membayar jaminan itu.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mac. - Bernama


Sumber : Sinar Harian

BAUCAR KERJA RM35 SEHARI UNTUK MISKIN BANDAR



CYBERJAYA - Individu berpendapatan bawah RM3,000 di kawasan bandar, layak mendapat bantuan RM35 sehari menerusi program Baucar Kerja yang diselia oleh Kementerian Sumber Manusia.

Dilancarkan pada peringkat perintis pada April ini, ia akan menyaksikan penglibatan seramai 100 peserta yang tergolong di bawah tahap miskin bandar.

Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JobsMalaysia), Yusuff Harun berkata, bantuan tambahan tersebut dijangka dapat membantu golongan ini dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

"Namun, bantuan itu tidak akan diberikan sewenang-wenangnya. Mereka harus mendapatkan pekerjaan sambilan bagi melayakkan mereka mendapat bantuan tersebut," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

"Golongan itu hendaklah mencari kerja sambilan terlebih dahulu, dan kita akan menyumbang sebanyak RM35 sehari.

"Jumlah tersebut boleh dituntut setiap hari atau pun pada setiap hujung bulan, bergantung kepada keperluan individu tersebut," katanya.

Program Baucar Kerja menyasarkan golongan bekerja di kawasan bandar yang berpendapatan kurang daripada RM3,000, dan individu yang tidak bekerja.

Ia juga menyasarkan golongan terpinggir seperti bekas banduan, bekas penagih dadah, warga emas, golongan kurang upaya, Orang Asli dan pelajar keciciran.

JobsMalaysia akan memastikan pemilihan peserta dilakukan secara teliti berdasarkan kaedah pemilihan profil dan dirujuk dari pangkalan e-kasih.

e-kasih merupakan pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan.

Individu yang layak akan dihubungi secara terus, kata Yusuff.

Berdasarkan pangkalan data e-kasih terkini, golongan dalam kumpulan miskin dan miskin tegar kini mencecah 500,000 orang.

Menurut Yusuff, bagi individu yang terikat dengan kontrak pengambilan pekerja yang tidak membenarkan mereka melakukan dua kerja pada masa yang sama, JobsMalaysia akan memainkan peranan sebagai orang tengah untuk berunding dengan majikan bagi membenarkan pekerja untuk melakukan kerja sambilan.

"Bagaimanapun ia tertakluk kepada akta-akta pekerjaan dan buruh yang berkaitan," katanya. - Bernama



Sumber : Sinar Harian

BANK NEGARA NAIK PREMIUM INSURANS KENDERAAN


KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia akan menaikkan premium insurans kenderaan secara berperingkat dalam tempoh empat tahun mulai tahun depan pada kadar minimum yang tidak membebankan pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah. 

Penolong Gabenornya, Abu Hassan Alshari, berkata ia antara langkah yang akan dilaksanakan menerusi cadangan Rangka Kerja Baru Perlindungan Pemotoran dengan matlamat memudahkan pengguna kenderaan mendapatkan perlindungan serta meningkatkan kecekapan proses tuntutan insurans. 

“Kadar kenaikan premium itu masih belum dimuktamadkan, bagaimanapun ia tidak akan membebankan pengguna selepas mengambil kira maklum balas dan input pelbagai pemegang kepentingan,” katanya pada taklimat media mengenai perkembangan terkini cadangan Rangka Kerja Baru Perlindungan Pemotoran di sini, semalam. 

Hadir sama Pengarah Jabatan Kewangan Sektor Kewangannya, Abdul Rasheed Ghafur. Abu Hassan berkata, sebagai contoh, bagi perlindungan pihak ketiga motosikal 100cc dan ke bawah, cadangan kenaikan adalah antara RM1 hingga RM3.50 setahun dan RM1 hingga RM2 untuk perlindungan komprehensif. 

Untuk perlindungan pihak ketiga kereta persendirian 1,400cc, kenaikan adalah antara RM6 hingga RM34 setahun untuk empat tahun dan RM7 hingga RM19 untuk perlindungan komprehensif. 

Abu Hassan berkata, pihaknya sudah pun mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pemegang kepentingan serta pandangan majlis ekonomi mengenai perkara berkenaan.