Sepetang Bersama Blogger dan Yeo's 2014

05 Februari 2014

TEMBAKAN DI KEPALA

ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi Thivakar

Kuala Lumpur: Suasana di Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan di sini, gempar apabila seorang anggota polis berpangkat lans koperal dari Cawangan Khas (SB) Bukit Aman ditemui mati akibat ditembak di kepala di tepi jalan itu, semalam.

Difahamkan, kejadian disedari orang awam yang ternampak mayat mangsa, T Thivakar, 37, berpakaian lengkap, terbaring berdekatan sebuah motosikal jam 4.30 petang. 

Bertindak atas hasil maklumat, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa mempunyai kesan kecederaan dua das tembakan di kepala. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairy Ahrasa berkata, siasatan awal mendapati tiada pergelutan dalam kejadian itu yang dipercayai baru berlaku sebelum penemuan mayatnya.

“Mayat mangsa yang bertugas di Cawangan Khas itu ditemui terbaring 1.5 meter dari motosikal yang diparkir dengan baik di tepi jalan terbabit.


“Kami turut menemui dua kelongsong peluru 9 milimeter dan tidak menolak kemungkinan suspek sememangnya berniat membunuh mangsa berikutan tiada kesan pergelutan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. 

Hadir sama Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah. 

Menurut Khairy, pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengenal pasti motif kejadian.

“Setakat ini kami belum dapat memastikan sama ada mangsa membawa senjata api atau sebaliknya kerana ia tidak ditemui di lokasi kejadian. 

“Pemeriksaan juga mendapati motosikal itu didaftarkan atas nama orang lain,” katanya. 

Menurutnya, polis juga memastikan sama ada mangsa bertugas atau tidak ketika kejadian dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. 

Harian Metro difahamkan, mangsa yang bertugas di Bukit Aman itu masih bujang dan berasal dari Ipoh, Perak.

SUMBER

Tiada ulasan: