Sepetang Bersama Blogger dan Yeo's 2014

05 Februari 2014

20 LOKASI DI KUALA KANGSAR DIPASANG CCTV

KUALA KANGSAR 4 Feb. - Sebanyak 20 lokasi dikenalpasti untuk dipasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi membanteras kegiatan jenayah di sekitar bandar diraja ini.

Ketua Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Muhamad berkata, peruntukan memasang CCTV tersebut adalah dari kerajaan dan kerja pemasangan akan dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).

Menurut beliau, antara kawasan yang akan dipasang dengan kemudahan itu termasuklah pusat beli-belah, bank dan tempat meletak motosikal kerana berpotensi berlaku kegiatan jenayah ragut atau kecurian motosikal.

"Kawasan dipilih merupakan kawasan tumpuan dan berpotensi untuk jenayah berlaku.

"Pemasangan CCTV ini merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk mencegah jenayah di daerah ini," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar di sini hari ini.

Majlis turut disaksikan Ketua Jabatan Pengurusan Polis Perak, Datuk Zulkifli Mohamad.

Abdul Ghafar yang akan bersara menyerahkan tugas berkenaan kepada Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Guan Beng Kang sebagai Pemangku Ketua Polis Daerah yang baharu.

Menjelaskan lebih lanjut katanya, statistik jenayah di daerah ini tahun lalu meningkat dua kes iaitu 298 kes berbanding 296 kes pada tahun sebelumnya manakala jenayah jalanan, menurun kepada 26 kes daripada 37 kes pada 2012.

"Walaupun terdapat penurunan indeks jenayah jalanan, tetapi kita perlu teruskan usaha-usaha membanteras jenayah lebih-lebih lagi dengan pindaan Undang-undang Pencegahan Jenayah yang baharu iaitu Akta Pencegahan Jenayah 1958 dan Akta Pertubuhan 1960 yang akan memberi impak aktiviti membanteras jenayah.

"Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh warga daerah ini supaya terus mempertingkatkan lagi usaha-usaha pencegahan terutama ke arah mengurangkan jenayah jalanan," katanya.

SUMBER

Tiada ulasan: